Jeju Journey - Day 3


Hari yang indah, hari ke-3 di Jeju. Seusai bersarapan, kami pun bergerak meninggalkan tempat penginapan untuk  ke destinasi seterusnya. Jadual pada hari ini adalah menjejaki tempat tarikan di kawasan sekitar ini.


1. Cheonjeyeon Waterfall

- Cheonjeyeon Waterfall tidak jauh daripada rumah tumpangan kami, lebih kurang 5 ke 10 minit pemanduan.  Saeyongyo Bridge kelihatan dari kejauhan.

Percuma tempat parkir manakala yuran kemasukan sebanyak 2,000won. Tempat yang sesuai untuk beriadah kerana kawasannya yang rata dan lapang.









2. Jeongbang Waterfall

- Yuran kemasukan adalah 2,000won dan percuma tempat parkir. Air terjun sangat unik kerana ia adalah satu-satunya di Asia, air terjun yang bersambung terus ke lautan. Sangat mengujakan.


Dari kawasan parkir, kami menuruni anak tangga untuk sampai ke bawah. Kawasan laluan yang luas dengan pohon yang melindungi daripada panas matahari. Budaya Korea agak kuat pengaruhnya sehingga kami pelancong luar negara boleh terikut sama. Laluan tangga dilabel dengan turun dan naik, yang secara automatik penggunanya turut mengikut aturan ini. Tidak ada perlanggaran dan ini mampu mengurangkan sebarang insiden yang tidak diingini. Peraturan yang amat mudah namun memberi kesan yang besar.








Kawasan air terjun dipenuhi batu besar dan menyukarkan sedikit pergerakan. Namun itu tidak menghalang para pengunjung untuk mengambil gambar sebagai kenangan di tempat ini.  Pemandangan lautan berlatar belakangkan air terjun ini sangat unik dan mengagumkan mata yang memandangnya.



3. Jusangjeolli Cliff

- Setelah berehat seketika, kami pun meneruskan perjalanan menjejaki Jusangjeolli Cliff. Sebenarnya tempat ni memang termasuk dalam "wishlist" sejak lama dulu. Selalu tengok tempat ni di google image dan sangat terpesona dengan kecantikan geologinya. Bayangkan perasaannya apabila dapat menjejakkan kaki ke sini. Alhamdullilah diberi rezeki.











Yuran masuk adalah 2,000won seorang dan tempat parkir 500 ke 1,000won. Terdapat monumen kapal laut dan kawasan bergambar selepas kaunter tiket. Kelihatan juga gerai kecil yang menjual makanan laut di sini. Jeju sangat sinonim dengan hasil laut dan haenyeo (penyelam wanita).

Kami menuruni anak tangga dan kelihatan batu-batu basalt yang berbentuk hexagon atau segi empat yang tercacak di tebing-tebing laut. Jusangjeolli Cliff ini terhasil daripada lava dari Gunung Hallasan yang meletus sehingga ke laut Jungmun (sumber: visitkorea.or.kr). Air lautnya yang membiru menambah keindahan panorama ♡


4. Cheonjiyeon Waterfall

- Yuran adalah sebanyak 2,500won seorang dan percuma tempat parkir. Tempat ini terbahagi kepada 3 bahagian; kawasan tasik artificial dan dua air terjun.

Tempat pertama yang kami lawati adalah tasik artificial yang kedudukannya sedikit rendah. Perjalanan di musim panas pada waktu tengahari berjalan lancar dengan adanya pokok-pokok di kiri dan kanan menjadi teduhan.






Tasik artificial ini terkenal kerana airnya yang mempunyai tiga warna berbeza yang menjadi tarikan kepada pelancong untuk datang ke sini. Airnya sangat jernih dan bersih namun berenang atau mandi manda adalah dilarang sama sekali.

Kami berjalan mendaki dan menuruni anak tangga untuk ke kawasan air terjun. Air terjun yang bertingkat kelihatan seperti payung sangat mengagumkan pandangan mata. 


Kami tidak mengunjungi air terjun ke 2 dek kerana keletihan dan cuaca yang semakin panas.


5. Yongmeori Coast.

- Cuaca yang semakin panas dan matahari yang semakin tegak di atas kepala tidak menghalang kami untuk meneruskan perjalanan.

Perjalanan ke Yongmeori coast agak jauh hampir atau lebih sejam. Kami sempat menikmati perjalanan tepi laut di sepanjang perjalanan. Kami memasukkan no. gps untuk ke Yongmeori Coast tetapi kami dibawa ke Sanbangsan Temple. Kedua tempat ini berdekatan antara satu sama lain. Usah khuatir kerana Yongmeori Coast terletak hanya berhadapan dengan Sanbangsan Temple.





















Kawasan parkir sedikit jauh dan kami terpaksa berjalan kaki untuk ke sana. Kami melalui cafe dan rumah tumpangan. Kami juga sempat membeli Hallabong, jus oren asli Jeju berharga 1,000won untuk menghilangkan sedikit dahaga. Jus oren sejuk di tengah panas memang terbaik !

Kami pun tiba di kaunter tiket masuk dan membayar 2,000won untuk seorang. Tidak ramai pelancong sewaktu kami sampai. Kelihatan sekumpulan gadis dari Malaysia jugak yang baru sampai. Jam menunjukkan pukul 2 petang waktu tempatan.

Tempat ini sangat menarik yang dikelilingi dengan batu pasir yang telah termampan sejak puluhan atau mungkin ratusan tahun dulu. Ia kelihatan seakan "Grand Canyon" atau "Antelope Canyon" di negara barat. Tempat ini jugak tidak asing dengan Haenyeo. Kelihatan makcik yang duduk berdekatan yang sedang berniaga makanan laut.


6. Pantai

- Jam menunjukkan pukul 4 petang, dan kami telah selesaikan itinerary untuk hari ini. Jam masih awal dan kami memutuskan untuk singgah di tepi pantai dalam perjalanan balik. Meski cuaca panas, ia tidak menghalang warga tempatan untuk keluar berekreasi. Ramai kumpulan keluarga yang meluangkan masa bermandi manda dan bermain di tepi pantai. Kami hanya mampu melihat dari kejauhan dek kerana kepanasan.



Seusai menghabiskan sedikit masa di pantai, kami pun bergerak balik ke rumah tumpangan. Banyak kawasan pelancongan sepanjang perjalanan balik kami. Kami memasuki kawasan bandar Seowipo hampir senja. Ini adalah waktu kemuncak, kelihatan banyak kereta dan jalan yang sedikit sesak mungkin juga kerana ia adalah waktu pulang warga tempatan.

Memandu pada waktu dan masa ini sangatlah mencabar bagi kita pemandu Malaysia yang tidak biasa memandu di negara orang. Tapi usah risau, cuma fokus pada pemanduan.


7. Maeil Seowipo Night Market

- Malam ini adalah malam terakhir kami di Seogwipo. Kami melawat Maeil Market untuk membeli sedikit buah tangan untuk di bawa balik. Antara buah tangan yang terkenal adalah key chain, coklat jeju dan snek kulit buah oren. Harga coklat di sini agak murah.




Selesai membeli belah, kami pun berjalan-jalan di sekitar Seogwipo city. Untuk makan malam, kami singgah di kedai serbaneka korea, CU (tak ingat nama). Terdapat banyak makanan segera dan snak. Kami membeli nasi goreng segera, gimbap, snek ringan dan minuman.

Sambil menikmati hidangan malam di luar kedai serbaneka yang ala-ala seperti warga tempatan, ditemani lagu ikon (time ni la tetiba jadi iconic) di hening malam sambil bercerita itu ini sehingga tidak sedar jam. Untuk bahagia dan gembira, tidak perlu mewah, cukup dengan syukur.


Alhamdulillah. Berakhir untuk hari ke-3 trip kawan baik di pulau Jeju yang indah.

Comments

Popular posts from this blog

Sinilou Kibambangan Waterpark

Backpackers Day 5 at Seoul, South Korea

Backpackers Day 1 at Seoul, Korea