Jelajah ke Bangkok, Thailand | Feb 2020

Alhamdulillah, diberi peluang dan ruang untuk meneroka bumi ALLAH. 

Borneo Ke Semenanjung Malaysia
ISNIN | 10 Februari 2020

Jam menunjukkan pukul 7.40 malam, menaiki pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Pesawat dijangka tiba di Kuala Lumpur pada pukul 10.20 malam.

Keadaan cuaca seperti biasa, namun ada sesuatu yang menarik di langit malam. Bulan penuh tampak begitu jelas dan terang. Melihatnya dari aras tinggi beribu kaki dari paras laut memberi perasaan gerun namun kagum bersilih ganti. All praise to ALLAH.

Suasana di lapangan terbang pada saat ini sangat berbeza dengan sebelumnya. Ia kelihatan lengang dan tenang dari pengunjung. Ini adalah kerana munculnya wabak penyakit Corona Virus atau Covid 19 yang asalnya bermula dari tanah Wuhan di China yang memberi kesan kepada seluruh dunia pada saat ini .

Saya dan sahabat baik yang juga merangkap travel buddy, Edy bermalam di lapangan terbang pada malam ini kerana penerbangan kami adalah pada awal pagi esok.

Malaysia ke Bangkok, Thailand
SELASA | 11 Februari 2020


Kami berangkat ke Bangkok dengan penerbangan Air Asia pada pukul 6.50 pagi waktu tempatan. Sewaktu di dalam pesawat, kami dikehendaki untuk mengisi Departure Card”. Kad ini mengandungi butir peribadi, alamat dan no telepon penginapan sepanjang berada di Thailand. Ini adalah sebagai pengesahan diri sepanjang berada di negara tersebut. Kad ini terbahagi kepada dua, satu untuk diberikan kepada Imigresen Thailand, manakala satu lagi untuk simpanan kita semasa berada di Thailand. Proses ini adalah biasa di mana setiap pengunjung atau pelawat dikehendaki untuk mengisi borang atau kad ini jika masuk ke mana-mana jua negara sekalipun.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueng (DMK) pada pukul 8.00 pagi waktu tempatan. Usai urusan imigresen, kami pun membeli travel simcard tempatan. Simcard dengan kelengkapan pakej panggilan dan internet bernilai 170 Baht untuk 5 hari. Pelbagai pilihan simcard mengikut pakej. Passport dan wang tunai Baht diperlukan untuk pendaftaran. Staf di kiosk juga boleh berbahasa Inggeris yang memudahkan segala urusan.

DMK ke Pratunam Market

ROUTE : DMK > Stesen Mo Chit > Stesen Ratchaprapop > Pratunam Market

~~ Tiba di balai ketibaan DMK, pergi ke pintu keluar no.6 untuk ke perhentian bas. Tunggu dan naik bas awam no.A1. Tambang bas awam ialah 30 Baht dan perjalanan selama lebih kurang 20 minit bergantung kepada keadaan trafik.

Jarak dari DMK ke Bangkok sejauh 29km. Bas ini antara yang paling digemari, yang sentiasa padat dan sesak dengan penumpang tempatan mahupun pelancong. Usah berharap untuk mendapat tempat duduk sebaliknya nikmatilah pemandangan sepanjang jalan ke bandar Bangkok. :) Konduktor bas akan memberitahu sekiranya tiba di Stesen Mo Chit.

~~ Di Stesen Mo Chit, naik bts (Bangkok Mass Transit System) atau Skytrain dan turun di Stesen Phaya Thai (40 Baht). Kemudian tukar ke laluan City line dengan menaiki ARL (Airport Railway Link) dan turun di Stesen Ratchaprapop (15 Baht). Keluar dari stesen bts dan Pratunam Market lebih kurang 500m dari stesen bts.
rujukan: google map




Jam menunjukkan pukul 11.00 pagi waktu tempatan atau 10.00 pagi waktu Malaysia. Kami singgah di Samat Muslim Food untuk makan tengahari. Restoran ini dicadangkan oleh traveller lain di dalam blog mereka untuk senarai makanan halal.

Kami memilih hidangan tom yum seafood, digandingkan dengan telur dadar yang sinonim dengannya, air teh ais dan air teh ais mathca. Portion makanan ini cukup banyak untuk dua orang dan air aisnya sangat sedap dan terbaik. Harga makanan tengahari kami sebanyak 320 Baht.


Setelah itu, kami pun menghala ke Pratunam Market yang berada di seberang jalan tidak jauh dari Samat Muslim Food. Di sini terdapat pelbagai barangan yang dijual; baju, seluar, kasut, selendang, beg, souvenirs dan banyak lagi.

Pratunam Market ke Chao Phraya River

ROUTE : Stesen Ratchaprapop > Stesen Phaya Thai > Stesen Siam >Stesen Surasak > [hostel] > Stesen Saphan Taksin

~~ Dari Stesen Ratchaprapop, naik ARL ke Stesen Phaya Thai (15 Baht).
~~ Tukar ARL ke bts di Stesen Phaya Thai Sukhumvit Line dan turun di Stesen Siam. Kemudian interchange ke Silom Line dan turun di Stesen Surasak (44 Baht).    
~~ Jalan kaki ke tempat penginapan (rujuk gambar)


rujukan: google map


Kami menginap di kawasan Sathorn, iaitu di Cube Sathorn Boutique Hotel selama 3 hari 2 malam. Total kos penginapan sebanyak 1,134 Baht atau RM150 dan 500 Baht sebagai wang deposit. Bilik kami dilengkapi dua katil single, tv, peti sejuk dan tandas. Tuan rumah, Asma ialah muslim, seorang yang peramah dan boleh berbahasa Inggeris. Tuan rumah sangat pemurah, turut menyediakan kudapan dan minuman segera percuma di luar bilik.

PENGALAMAN MENAIKI BOAT DI SUNGAI CHAO PHRAYA
~~ Dari Stesen Surasak, naik bts dan turun di Stesen Saphan Taksin (16 Baht). Keluar dari stesen bts dan jalan kaki ikut Exit 2 ke Sathorn Central Pier.  



Di Sathorn Central Pier ini terdapat banyak servis boat yang boleh dinaiki. Ada one-way trip dan return trip bergantung kepada kesesuaian masing-masing. Terdapat banyak tempat menarik untuk dilawati di sepanjang sungai Chao Phraya ini; Grand Palace, Wat Arun, Wat Pho, Iconsiam, Asiatique dan lain-lain. Selain mengunjungi tempat-tempat bersejarah Thailand, kita juga boleh menikmati pemandangan di sungai Chao Phraya ini.








Kami menaiki bot berwarna oren ke Wat Arun (15 Baht). Yuran masuk ke Wat Arun sebanyak 50 Baht. Di luar kawasan Wat Arun jugak banyak spot untuk bergambar. Kami kemudian bergerak ke Wat Pho dengan menaiki bot tempatan (15 Baht). Terdapat banyak bangunan lama di sini dan salah satunya di kawasan Tha Tien. Banyak cafe dan gerai yang menghiasi kawasan ini.




Selesai berjalan-jalan di kawasan Tha Tien, kami pun bergerak pulang ke Central Pier. Kelihatan dari kejauhan warga tempatan yang membawa motorsikal dan basikal, pelajar dan pekerja yang menunggu bot air ini tiba. Bot-bot ini bukan sahaja digunakan sebagai medium pengangkutan untuk pelancongan, malah warga tempatan juga menggunakan servis ini untuk bergerak ke satu-satu destinasi. Ada kawasan yang hanya boleh diakses melalui jalan air dan servis bot ini adalah pengangkutan utama bagi mereka.



Kami menunggu bot percuma ke Asiatique The Riverfront di Santhorn Central Pier. Masa perkhidmatan bot percuma ini adalah dari pukul 5.00 petang sehingga 11.00 malam. Melihat pemandangan matahari terbenam di atas bot adalah satu pengalaman yang baru dan menarik.

Untuk pengetahuan anda, terdapat sebuah masjid di kawasan Asiatique ini iaitu Masjid Bang Uthit, tidak jauh dari pelabuhan Asiatique. Di dalam perkarangan masjid ini juga terdapat sebuah madrasah atau sekolah Muslim.  




Di luar masjid juga terdapat gerai makanan yang dijual oleh orang Muslim, dan food court makanan halal berdekatan. Terdapat juga kedai serbaneka 7 Eleven berdekatan.






Antara tarikan di Asiatique ialah keunikan cafe-cafe, pasar malam tepi sungai, laungan muzik dari bot dan Ferris Wheel yang tampak gah dan indah terutama pada malam hari.  

Kami meneruskan eksplorasi bot air ke Icon Siam, antara pusat membeli-belah terbesar di Asia. Pelbagai gerai, restoran dan kedai eksklusif ada di sini. Keindahan hiasan dalaman bangunan ini juga sangat dititipberatkan dan segala sudut dihasi dengan sentuhan yang menarik dan berbeza. Persembahan air pancut multimedia berirama di luar bangunan Icon Siam juga sangat mengangumkan. Ia ditayangkan setiap hari pada pukul 6.30 petang, 8.00 malam dan 9.00 malam.

Rabu | 12 Februari 2020
Bangkok ke Domnoen Saduak Floating Market

ROUTE: Stesen Surasak > Stesen Victory Monument > Bangkok Bus Terminal > Damnoen Saduak > Samut Songkram >Stesen Mo Chit > Chatuchak Market > Pratunam Market

P/S: Adalah dinasihatkan untuk bergerak seawal pagi jika ingin ke floating market dan train market kerana jaraknya yang jauh, 100km dari kota Bangkok.

~~ Naik bts dari Stesen Surasak melalui Silom Line dan interchange ke Sukhumvit Line di Stesen Silam. Turun di Stesen Victory Monument (44 Baht).  
~~ Keluar dari stesen bts, jalan kaki menghala ke Victory Monument. Victory MOnument ini terletak di tengah bulatan jalan raya (roundabout). Terdapat stesen bas awam berhampiran monumen ini. Tunggu dan naik bas No.515 ke Bangkok Bus Terminal atau Southern Bus Terminal. Tambang sebanyak 19 Baht dan perjalanan selama 30 minit ke sejam bergantung kepada keadaan trafik.
~~ Setibanya di Bangkok Bus Terminal,tidak perlu masuk ke dalam bangunan SC Plaza. Dari perhentian bas, bergerak ke arah kiri SC Plaza. Pengangkutan untuk ke luar daerah Bangkok boleh didapati di sini. Pilihan pengangkutan kami ialah bas awam no.78 dari Bangkok ke Domnoen Saduak (70 Baht) lebih kurang 2 jam 30 minit perjalanan. Minivan lebih jimat masa dan tambangyya cuma berbeza sikit sahaja.

Sesampainya di Domnoen Saduak, bas menurunkan kami di stesen terakhir, yang kelihatan seperti pekan kecil. Tempat persinggahan ini berdekatan dengan sungai dan terdapat gerai makanan di tepi sungai. Namun ini bukanlah pasar terapung Domnoen Saduak.

Terdapat 2 cara untuk ke Domnoen Saduak Floating Market; satu, naik bot dari stesen terakhir bas ini, atau yang kedua, tumpang gojek (motorsikal) jika ada.

Kami sememangnya tidak berniat untuk menaiki bot air lagi memandangkan kami telah merasai pengalamannya di sungai Chao Phraya pada hari sebelumnya. Di tambah dengan kesuntukan masa bekerjar ke destinasi seterusnya.

Di sini saya kongsikan cara kami ke pasar terapung ini.
~~ Setibanya kami di stesen bas terakhir, kami menolak untuk menaiki bot dari wanita berbaju merah (staf perkhidmatan bot) ; satu kerana harga yang ditawarkan terlalu mahal, sebab kedua ialah kami memang tidak berniat untuk menaiki bot. Lalu kami pun bertanyakan kepada peniaga makanan di tepi sungai cara untuk ke pasar terapung. Beliau meminta sahabatnya yang juga pemandu gojek untuk bersama membawa kami ke kawasan berdekatan (15 Baht).  Kami melintasi highway dan kemudian diturunkan di sebuah kaunter perkhidmatan bot air. Kami didekati dengan wanita berbaju ungu (juga staf perkhidmatan bot) dengan menawarkan harga pakej bot mereka (harga pemulaan 2000 Baht). Namun kami tetap menolak secara baik tetapi tegas. Saya terbaca di satu blog, untuk ke pasar terapung boleh menunggu minivan yang lalu di jalan besar. Jaraknya lebih kurang satu kilometer dan memang jauh untuk berjalan kaki ditambah dengan cuaca yang sangat panas di tengahari itu. Kami bersyukur kerana pakcik gojek tadi akhirnya bersetuju untuk membawa kami dan kedegilan kami berdua ke pasar terapung itu (15 Baht). Servis bot air tidak berakhir di situ kerana tempat yang kami diturunkan juga memujuk untuk mengambil pakej mereka.


rujukan: google map 

Waktu terbaik untuk melawat Domnoen Saduak Floating Market adalah sekitar pukul 8.00 pagi hingga 10.00 pagi. Dan untuk pengetahuan anda, pasar ini mula lengang pada pukul 1.00 petang.


Makanan halal sukar didapati di sini. Namun, terdapat kedai serbaneka 7 Eleven berhadapan dengan Yuwanda Pier.

Domnoen Saduak ke Samut Songkram

Minivan untuk ke Samut Songkram berparkir di sebelah 7 Eleven dan jadual perjalanan yang terakhir adalah pada pukul 2.00 petang.  Kami terlepas minivan lalu terpaksa mencari alternatif lain. Setelah menunggu agak lama dan tiada pengangkutan awam yang kelihatan, kami pun memutuskan untuk ke stesen bas terakhir tadi untuk pulang semula ke Bangkok. Kami bernasib baik apabila tidak lama kemudian ada gojek yang melintasi kami (15 Baht).

~~ Setibanya kami di stesen bas terakhir, ada minivan untuk ke Samut Songkram (20 Baht). Perjalanan mengambil masa lebih kurang 20 ke30 minit. Minivan menurunkan kami di depan tokong.

rujukan: google map

Kami tiba di Samut Songkram pada pukul 3.00 petang. Meskipun terlewat, kami bersyukur kerana dapat juga sampai ke sini selepas menempuh pelbagai cabaran semenjak pagi.

Maeklong Railway Market yang terletak di Samut Songkram ini terkenal kerana pasarnya yang beroperasi betul-betul di antara landasan keretapi. Kemuncak untuk destinasi ini ialah bilamana keretapi tiba di Mae Klong Station. Semua pegerai-pegerai di kiri dan kanan landasan akan menutup payung mereka untuk memberi laluan kepada keretapi. Berikut adalah jadual ketibaan keretapi:

Masa
8.30 pagi
11.10 pagi
2.30 petang
5.40 petang

Sila rancang perjalanan anda dengan rapi  :)

~~ Untuk pulang ke Bangkok, terdapat stesen bas berdekatan Mae Klong Station, Mae Klong Transport Station yang berada di lorong Rattana Withi. Di sini terdapat minivan ke Bangkok (100 Baht) dan perjalanan selama 1.5 jam bergantung kepada traffik.


rujukan: google map

Kami diturunkan berdekatan dengan Chatuchak Weekend Market. Untuk pengetahuan, Chatuchak market hanya beroperasi pada hari Rabu hingga Ahad. Hari Rabu dan Khamis pasar bunga, manakala Jumaat hingga Ahad adalah pasar am, bermacam barangan dijual. Pasar ini tutup pada pukul 6.00 petang dan ada musollah di dalam kawasan ini. Di luar kawasan pasar, terdapat juga Chatuchak Park.

Dari Stesen Mo Chit, kami menaiki bts ke Pratunam Market (laluan perjalanan boleh rujuk pada hari pertama kami di Bangkok). Kami singgah ke sini untuk makan malam, mengurut kaki dan membeli cenderamata.

Pelbagai barangan boleh didapati di sini dengan harga yang cukup berpatutan. Kedai mahupun gerai. Untuk makan malam kami terjumpa sebuah kedai makan halal. Menu yang kami cuba ialah nasi itik (80 Baht). Ini adalah pengalaman kali pertama saya merasai daging itik. Sesudah makan kami pun singgah di sebuah kedai untuk mengurut kaki. Urutan kaki sebanyak 150 Baht untuk sejam.

Khamis | 13 Februari 2020
Bangkok ke Malaysia

ROUTE : Stesen Surasak > Stesen Siam > [ Siam Square One > Siam Centre - Siam Paragon - MBK Mall] > Stesen Mo Chit > DMK Airport

Pagi itu kami bersarapan di restoran berhadapan hostel kami. Nasi pulut ayam dan coffee. Jika diperhati ramai orang Muslim di kawasan ini dan banyak gerai makanan halal di sekitarnya. Setelah siap bersarapan dan berkemas, kami daftar keluar dari hostel pada pukul 12.00 tengahari. Sebelum meninggalkan Sathorn, kami sempat membeli air jus buah campuran di gerai sahabat Asma (50 Baht).

Setibanya kami di Stesen Siam, kami berjalan sekitar Siam Square One sambil mencari loker simpanan bagasi, Lock Box. Lock Box di Tingkat 3 Siam Square One tidak berfungsi lalu kami berpindah ke Siam Paragon. Lock Box Siam Paragon terletak di luar bangunan di Tingkat Bawah. Bayaran tempat penyimpanan bergantung kepada saiz locker dan masa penyimpanan. Kami membayar 60 Baht untuk 2 jam penyimpanan. Sebenarnya ada ruang penyimpanan percuma di MBK Mall, dan MBK Mall cumalah jauh satu stesen bts sahaja dari Siam, namun kami memilih untuk menyimpan di sini saja memikirkan beban beg yang berat dan kena berulang-alik dua stesen.  

Kami berjalan-jalan di dalam mall dan sekitar Siam. Siam Square One, Siam Paragon dan seterusnya berjalan kaki ke MBK Mall. Barang cenderamata juga boleh didapati di tingkat 3. Sesetengah barang harganya sedikit mahal dari Pratunam Market.  Di tingkat bawah juga terdapat kiosk dengan lelongan harga untuk baju berjenama pada masa itu.

Agak sukar untuk mencari makanan halal di sini dan kedai 7 Eleven adalah penyelamat. Namun kami cuma membeli minuman untuk mengisi perut kerana perlu berkejar ke lapangan terbang.  

Kami kembali semula ke Siam Paragon untuk mengambil beg dan bergerak ke Stesen Mo Chit. Keluar dari Stesen Mo Chit, kami menunggu bas no. A1 di perhentian bas yang sama kami diturunkan pada hari pertama kami di Bangkok. Keadaan bas no A1 sedikit lengang dan jalan ke lapangan terbang juga tidak begitu sesak.

Sesampainya kami di Lapangan Terbang DMK, kami mencari kedai makan di tingkat 3 Terminal 2. Ada beberapa kedai halal di sini,dan antara yang paling popular ialah Bangmad dan Au White Coffee. Ada lagi satu kedai makanan halal, namun saya terlupa nama kedai itu.

Cara bayaran: Pilih menu makanan dan hitung jumlah makanan kemudian ke kaunter bayaran (bukan kaunter kedai makan). Di kaunter ni perlu bayar duit dan cashier akan memberi kad  

Usai urusan imigresen, kami pun bergerak ke balai pelepasan ke Malaysia yang berada di tingkat bawah . Lapangan terbang DMK sangat luas dan lapang. Sebelum berlepas kami sempat membeli kudapan di kedai halal balai perlepasan ini. Pesawat kami balik ke Malaysia berangkat pada pukul 9.00 malam waktu tempatan.  


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Sinilou Kibambangan Waterpark

Backpackers Day 5 at Seoul, South Korea

Backpackers Day 1 at Seoul, Korea