2Days 1Night | Jelajah ke Singapura

Meneruskan permusafiran ke kota singa, Singapura.

Jumaat | 14 Februari 2020

Kuala Lumpur ke Larkin, Johor

Saya tiba di stesen KL Sentral sekitar pukul 9.30 pagi dan kemudiannya menaiki MRT ke Terminal Bersepadu Selatan. Di sini saya menyambung perjalanan dengan menaiki bas ekspress untuk ke Larkin, Johor. Perjalanan lebih kurang 4jam 30minit.Tambang bas sebanyak RM34 dan boleh dibeli secara dalam talian di laman web.  


Terdapat banyak hotel bajet di sekitar Plaza Larkin ini. Kedai pakaian, servis tukaran wang, kedai runcit dan lain-lain terdapat di dalam bangunan ini.  Ruangan solat disediakan di tingkat 3. Manakala gerai makanan pula berada di tingkat 2. Antara gerai makanan yang terkenal di sini ialah Mee Rebus Haji Wahid dengan harga berpatutan yang bermula dari RM5.00 sepinggan. Makanan di sini sememangnya sedap. Gerai ini bernombor MS35 dan MS36. Selain itu, saya juga sempat merasai daging sate kuah kicap yang juga terkenal di sini. Gerainya terletak berdekatan dengan Gerai Mee Rebus Haji Wahid.

Sabtu | 15 Februari 2020

Merentas laut dari Johor ke Singapura

Kami bersarapan di Plaza Larkin sebelum bergerak masuk ke Singapura. Menu pada pagi ini ialah martabak dan nasi lemak. Usai bersarapan, kami pun menunggu bas untuk ke seberang. Antara bas yang boleh dinaiki adalah Causway Link, bas berwarna kuning CW1, CW2 atau CW3. Tambang bas sebanyak RM3.40 dan perjalanan mengambil masa selama sejam bergantung kepada keadaan trafik.

Di stesen Woodland, kami mengisi borang putih “Arrival card”. Kini, Singapura juga memperkenalkan pengisian “Arrival Card” secara dalam talian yang boleh di muat turun dari aplikasi bagi melancarkan urusan imigresen. Selesai urusan imigresen, kami pun turun ke tingkat bawah untuk menunggu bas ke Little India. Kami menaiki bas kuning bernombor CW2 kemudian turun di Terminal Queen Street.

Tempat penginapan kami terletak tidak begitu jauh dari terminal bas ini. Kami berjalan kaki lebih kurang 15 minit untuk sampai ke destinasi. Kami menginap di New Society Backpackers Hostel selama satu malam. Hostel ini menyediakan tiga jenis bilik yang dilengkapi dengan tandas di tiga tingkat yang berbeza iaitu dorm jenis lelaki, dorm perempuan dan dorm campur (bilik jenis campur jantina lelaki dan perempuan). Semua tempahan bilik sepanjang pengembaraan kami dibuat melalui booking.com dan agoda.com.


Sumber google maps

Jam menunjukkan pukul 11.00 pagi dan kaunter daftar masuk belum dibuka. Memikirkan masa senggang yang panjang kami pun bergerak ke Mustafa Centre yang berada tidak jauh dari hostel kami.

Mustafa Centre antara tempat menarik untuk dikunjungi. Mustafa Centre yang terdiri daripada dua bangunan (baru dan lama) yang dihubungkan dengan jambatan ini adalah sebuah pasaraya lapan tingkat yang menjual pelbagai barangan keperluan. Dari barangan runcit, barang penjagaan diri, perkakas, pakaian sehingga cenderamata boleh didapati di sini.  Harganya juga berpatutan.



Selesai urusan daftar masuk hostel dan merapikan diri, kami berjalan kaki ke Restoran Zam-Zam, kedai makan Indian-Muslim yang popular di Singapura. Restoran ini terkenal dengan Nasi Briyani, Murtabak, Roti Prata dan banyak lagi. Restoran ini mula beroperasi pada tahun 1908 dan telah berusia lebih daripada 100 tahun. Ruang makan terbahagi kepada 2; di tingkat 1 dan tingkat 2. Ruang makan di tingkat 2 dekorasinya kelihatan lebih moden dan lebih privasi.


Sumber google maps



Tidak lengkap kiranya datang ke restoran ini tanpa menikmati makanan “signature” restoran ini iaitu murtabak. Kami memilih Murtabak ayam bersaiz medium dan Nasi Briyani. Hidangan ini ternyata sangat sedap dan menepati citarasa kami. Tidak hairan jika restoran ini sentiasa dipenuhi dengan pengunjung. Kuantitinya banyak dan mengenyangkan meski kami hanya memesan dua jenis  hidangan. Servis restoran ini terbaik dan stafnya juga sangat peramah. Untuk harga makanan, sila ke laman web Zam-Zam Restaurant untuk rujukan.


Masjid Sultan cuma berada di seberang jalan Restoran Zam-Zam. Masjid Sultan yang terletak di Kampong Glam ini antara tempat yang mesti dilawati jika berkunjung ke Singapura. Masjid ini telah siap dibina pada tahun 1932. Ia terdiri daripada dua tingkat, di mana tingkat pertama ruangan solat untuk lelaki dan tingkat kedua adalah ruang solat perempuan. Bagi wanita uzur atau kehilangan daya upaya boleh menggunakan lif yang disediakan untuk ke ruangan solat wanita di tingkat 2. Manakala ruang wuduk pula terletak di luar masjid.

Banyak cafe dan kedai yang beroperasi di luar perkarangan Masjid Sultan. Kelihatan juga ramai pengunjung luar dari pelbagai negara yang datang ke sini. Merentasi cafe dan kedai dengan desain yang kreatif dan menarik, lorong-lorong di Arab Street ini juga dihiasi dengan mural yang berwarna-warni. Kiri dan kanan bangunan diberikan sentuhan artistik dan menjadikannya spot wajib untuk bergambar.





Sumber google maps

Seterusnya kami ke Bugis Street, juga tempat yang mesti dikunjungi jika berada di Singapura. Bugis Street Market ini begitu “happening” menjelang petang terutamanya kepada golongan muda dengan iringan muzik dan lampu neon dari kedai-kedai di sini. Jika ingin membeli cenderemata dengan desain yang terbaru dan menarik, boleh dapatkannya di sini.





Langit beransur gelap menandakan malam hampir tiba. Kami menaiki tren dari MRT Street terus ke Marina Bay. Pemandangan di sekitar Marina Bay kelihatan begitu cantik terutama pada malam hari. Tidak hairanlah jika tempat ini sentiasa dipenuhi dengan pengunjung. Kami menelusuri Marina Bay ke Marina Bay Sands, sebuah resort mewah dilengkapi dengan pusat membeli belah dan skypark.

Marina Bay dipenuhi dengan pelbagai barisan masyarakat meski pada malam hari. Ada yang bersenam, bersiar-siar, sekadar melepak santai di tepi teluk dan membeli-belah. Menghadap teluk di malam hari dengan tiupan angin sepoi sungguh mendamaikan dan menenangkan.





Kami berjalan-jalan di sekitar Marina Bay kemudian ke Helix BridgeMerlion atau tugu singa yang menjadi lambang kepada negara ini kelihatan sangat gah dari kejauhan meski pada malam hari. Kami sekadar melintasi Esplanade, sebelum mengambil tren balik ke Little India memandangkan masa juga semakin menjangkau ke lewat malam.

Ahad | 16 Februari 2020

Hari ini hari terakhir untuk trip seminggu kami berkelana di negara orang. Usai bersarapan ringan yang disediakan oleh hostel, kami berkemas dan bersiap-siap sebelum meninggalkan tempat penginapan.

Meski kami kini hampir ke penghujung trip, kami masih ada misi dan itinerari yang perlu dicapai. Usai urusan daftar keluar, kami pun mula berjalan kaki ke Golden Mile Complex dengan berpandukan peta dari goggle map. Ya, berjalan kaki dengan beg besar hampir 20 minit dengan jarak lebih dari satu kilometer. Gigih tak gigih, dengan keadaan sahabat yang sakit gigi. Jika diamati, jarak ini tidak sebegitu dasyat jika dibandingkan dengan trip kami di Seoul empat tahun lepas. Boleh baca entri saya sebelum ini, kerana kebanyakan masa kami hanya berjalan kaki semasa mengexplorasi kota Seoul.

Setelah beberapa ketika, kami pun sampai di Golden Mile Complex. Di dalam bangunan ini terdapat kedai yang menjual pelbagai barangan dan restauran (tidak halal), manakala di luar bangunan ini adalah kaunter untuk tiket bas ke Malaysia. Kami bertanyakan kepada staf kaunter tentang kedai makan yang kami cari dan beliau memaklumkan bahawa tiada gerai makanan halal di dalam bangunan ini. Beliau sebaliknya menunjukkan kami medan selera yang berada di seberang jalan menghadap kompleks ini.


Ternyata kedai makan yang kami cari berada di medan selera ini iaitu Golden Mile Food Court. Kedai yang kami cari ialah Deen Tiga Rasa dengan papan tanda berwarna hijau. Kedai makan ini berada di tingkat bawah dan mudah dilihat dari tepi jalan besar jika dari Golen Mile Complex. Kami datang ke sini atas rekomendasi sahabat baik saya ini untuk mencuba sup ketuk atau sup tulang merah yang sememangnya terkenal di sini. Ini adalah pengalaman kali pertama saya mencuba masakan ini. Kami memilih hidangan Sup Tulang Merah dan mee goreng.



Saya agak terkejut dengan warna sup tulang yang memang sangat merah yang kena dengan namanya. Begitu juga dengan mee goreng yang berwarna kemerahan. Ini adalah keunikan masakan India yang kaya dengan rempah-ratus. Edy mengajar saya cara untuk memakan sup tulang ini melalui personal tutorial.

Pertama sekali, ambil tulang dan ketepikan kuah sup agar tidak terpercik di tudung dan baju anda. Kemudian ketuk-ketuk tulang sehingga kelihatan sum-sum dan hirup keluar. Jika tidak mahu ketuk, boleh juga hirup dengan menggunakan straw.

Kuah sup ini memang sangat sedap, rasa manis masin dan berlemak lebih perasa dari rasa pedas rempah. Sedikit daging di tulang juga begitu lembut dan empuk. Begitu juga sum-sum tulang, lembut dan enak dengan gabungan kuahnya. Roti juga dicicah dengan kuah sup. Masakan ini sangat terkenal dan diminati. Sahabat saya menyatakan ada yang sanggup membungkusnya untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur. Hebat tak? Jika datang ke Singapura jangan lupa untuk merasai sup ketuk ini.

Selesai makan tiba masanya kami berpisah haluan. Edy menaiki bas ke Kuala Lumpur dari Golden Mile Complex manakala  saya pula ke Lapangan Terbang Changi. Begitulah pertemuan, akan ada perpisahan. Namun, pasti akan bertemu jua kembali.



Saya menaiki MRT dan turun di Lapangan Terbang Changi. Tujuan saya ke Singapura selain bersiar-siar di sini juga adalah ingin ke melawati Jewel Changi Aiport yang terkenal dengan tamannya. Saya bergegas ke Jewel sebelum penerbangan saya ke Kota Kinabalu pukul 5.40 petang ini. Jaraknya Jewel dengan Changi agak jauh ditambah dengan beg galas dan keletihan dari trip seminggu ini. Namun, kepuasan itu yang penting.

Setelah berlari-lari anak dari Changi ke Jewel, kepenatan yang tadinya hilang melihat Jewel terutama air terjun di tengah-tengah dinding konkrit ini. Hiasan dalaman lapangan terbang ini sangat mengangumkan mata. 




Selesai di Jewel, saya kembali ke Changi. Dari sini, saya perlu menaiki bas untuk ke Terminal 4 menuju ke Kota Kinabalu. 

Dengan ini, berakhirlah sudah trip seminggu menjelajah dua negara; Thailand-Singapura. Semoga saya diberi rezeki dan kesempatan untuk menjelajah lebih banyak tempat di bumi Allah ini. Insyaallah aaminnn.


Still young. Travel to learn. Write to remember. 
   

Comments

Popular posts from this blog

Sinilou Kibambangan Waterpark

Backpackers Day 5 at Seoul, South Korea

Backpackers Day 1 at Seoul, Korea